01 May 2013

Edisi Ekslusif: Amirul & Uwais Dalam Kenangan...episod 1



Alhamdulillah, pada hari ini Allah panjangkan usia kita untuk terus mengabdikan diri kepadaNya. Moga kita terus menjadi seorang hamba yang soleh dan solehah, beriman ke jalanNya.
 
Kali ini, saya ingin bercerita tentang anak2 saya. Mungkin ada yang perasan dalam entry sebelum ini, saya ada menulis Amirul 'dilahirkan' pada 18wks+ dan Uwais 'dilahirkan' pada 18wks+. Perkataan 'melahirkan' itu sangat mengelirukan. Malah, ramai yang diluar sana hanya menganggap keguguran adalah keguguran, bukannya suatu kelahiran.
 
Tak kurang juga yang tidak mengetahui bahawa apabila kandungan mencecah 18wks+, janin yang terbentuk adalah seperti bayi biasa, cuma kulitnya nipis sahaja. Anggota fizikal yang lain sama seperti bayi lain, dengan jantinanya (itulah sebabnya saya memberi nama anak lelaki utk kedua anak kami), bilangan jari yang cukup lengkap dengan kuku, kelopak mata dan telinga, dan sebagainya.
 
Bayangkan, sudah 2 kali saya dan suami berpengalaman mengendong anak kami yang sangat kecil itu. Setiap kali itulah, suami yang memandikan anak2 kami sebelum dikuburkan. Amirul dan Uwais kecil sahaja; dengan berat 200gm dan 250gm setiap seorang, dan besarnya lebih kurang besar telapak tangan.
 
Dan setiap kali dilahirkan, tiada lagi nafas atau suara. Maka apabila diikut hukum Fekah, bayi yang dilahirkan tidak bernyawa, tidak perlu disolatkan atau diazankan. Tetapi rukun yang lain harus dilaksanakan; yakni mandi, kafan dan tanam. Tetapi, sekiranya bayi ini bernyawa, walau menangis selama 1 saat, semua rukun haruslah dilakukan; mandi, kafan, solat dan tanam.
 
Ada juga yang bertanya, 'eh, ko bukan keguguran ke, nape bagi nama?'
Mengikut hukum Fekah juga, setiap bayi yang 'dilahirkan' selepas 120hari (maknanya lebih kurang 16wks), mesti diberi nama. Kerana, selepas 120 hari, roh sudah ditiupkan ke jasad bayi ini. Jika tidak pasti atau tak ingat jantina anak ini, berilah nama yang boleh digunapakai untuk lelaki dan perempuan, cthnya Salmi, Fairuz, dsb.
 
Mengapa saya menggunakan istilah 'melahirkan' untuk kedua2 anak saya?
Pengalaman sewaktu Amirul & Uwais dilahirkan sama seperti ibu2 yg bersalin bayi normal. Sakitnya sama, keadaannya sama...
 
 
Amirul - 28 Jun 2010 @ 5.00 pagi
 
Saya mula sakit 2-3 hari sebelum itu, tetapi saya anggap ia adalah biasa dan tidak pergi mendapatkan rawatan. Pada 27 Jun ptg, saya rasa lebih pelik dari biasa. Lantas saya mengajak suami ke klinik swasta utk scan. Di klinik, melalui scan, didapati membran yg menampung air ketuban saya sudah terkeluar sedikit. Segera kami ke Hospital Kemaman dan telah sah cervix saya telah dilate 2-3 cm yang menyebabkan membran terkeluar sedikit ('bulging out').
 
Lantas 'emergency cervical cerclage' dilakukan. Walaubagaimanapun, oleh kerana uterus saya sudah mula contraction, pembedahan ini gagal. Semasa prosedur, membran saya secara tiba-tiba rupture (walaupun bius separuh badan, saya masih dapat rasakan 'gushing' trsbt). Ketika itu jam lebih kurang 12.30 pagi (28 Jun).
 
Sebenarnya, pada malam yang sama, adik saya juga sedang bersalin di Hospital Ipoh, Perak. Alia dilahirkan pada malam yang sama melalui pembedahan caesarean dgn berat 4kg lebih.
 
Saya dihantar semula ke dewan bersalin dan ketika ini diagnosis bertukar kepada 'inevitable miscarriage'. Selepas sahaja bius hilang, bermulalah kesakitan contraction yang semakin lama semakin kerap dan semakin lama semakin menyakitkan. Walaupun sakit, saya tidak mahu apa jua penahan sakit kerana (kononnya) mahu merasakan sakit bersalin kerana peluang mengandung dan bersalin seperti ini mungkin tidak dapat dirasai lagi.
 
Suami banyak kali memujuk menerima suntikan apabila melihat kesakitan saya ketika itu. Tetapi saya sabar...ini adalah kifarah dosa. Pelbagai zikir yang saya ungkapkan dan saya terus bersabar.
 
Hinggalah lebih kurang 6 jam kemudian, (lebih kurang jam 5 pagi) saya merasakan kesakitan yang tidak dapat dibendung lagi. Suami memanggil nurse dan suntikan Nubain diberi. Tidak lama kemudian, saya merasakan seperti mahu buang air besar. Saya teran sekuat mungkin (kerana pada masa itu, fikiran saya hanya mahu menghilangkan kesakitan yang dialami masa itu - maklumlah kali pertama, tak faham lagi rasa sakit meneran bagaimana). Lantas terasa seperti ada sesuatu. Nurse dipanggil semula, rupa2nya janin/bayi  saya dilahirkan ketika itu. Tiada siapa yang menyambut anak saya.
 
Setelah diperiksa, bayi saya lengkap fizikalnya, siap lengkap dengan jantina lelaki. Kami agak terkejut kerana kami tidak menyangkakan kandungan 18wks+ akan selengkap ini. Wajah Amirul seiiras suami dengan raut wajah yang agak lonjong (Uwais lebih seiras raut wajah saya).
 
Amirul dibawa pulang oleh suami. Dialah yang memandikan Amirul di rumah. Dialah yang mengafankan Amirul dengan kain batik milik saya dan dia jugalah yang mengebumikan Amirul di Tanah Perkuburan Jabur Kubur bersama 2 sahabatnya (Samsuri dan Haji Nasiran). Saya memang tidak sempat utk cium wajah Amirul buat kali terakhir memandangkan berlaku sedikit komplikasi; tali pusat Amirul yang terlalu nipis itu terputus menyebabkan uri terlekat di dalam rahim ('retained placenta'). Walaubagaimanapun, suami menangkap gambar Amirul sebanyak yang boleh.
 
Saya diberi  cuti 2 minggu dan bermulalah saat 'depression' saya di rumah. Suami sangat banyak membantu menstabilkan emosi saya, termasuk urusan berpantang di rumah. Dari bertungku, berbengkung, makanan...semuanya disediakan oleh suami saya. Kami hanya berdua di rumah kerana saya tidak membenarkan sesiapapun datang melawat (saya tidak mahu menghadapi keluarga dan kawan2 krn saya tidak mahu mereka melihat saya menangis).
 
Suami sentiasa berada bersama saya. Dia jugalah yang menanamkan semangat dan mengingatkan ini adalah Qada dan Qadar Allah. Dia akan cuba menggembirakan saya dengan pelbagai cara. Yang pasti, saya dan suami kini telah mempunyai seorang anak yang telah dijamin syurga dan dengan izinNya dapat memberi syafaat buat kami di akhirat.
 
InsyaAllah...
 

Amirul sewaktu 15wks+
Keadaannya seperti sedang bersujud, kan?

No comments:

Post a Comment