03 May 2013

Ovarian Hyperstimulation Syndrome


Seperti yang dijanjikan, di entry kali ini saya hendak bercerita tentang Ovarian Hyperstimulation Syndrome (OHSS). Setiap kali saya mengandung, memang saya mengalami OHSS. Jika selepas satu2 prosedur, saya tidak mengalami apa2 simptom, maknanya tiada OHSS dan saya tidak terlalu berharap melihat 'double line' di strip UPT.
 
Semasa mengandungkan Uwais, OHSS saya agak teruk sehingga perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian. Mana tidaknya, saya jadi cepat mengah dan pemeriksaan menunjukkan pengumpulan air di abdomen dan paru2. Di wad, saya diberi pemerhatian rapi, dimasukkan drip dan disuruh untuk berpuasa (selepas 48 jam barulah boleh minum air, itu pun kerana branula saya sudah bengkak). Pakar meminta untuk memasukkan CBD (tiub kencing) untuk melihat jumlah air kencing - sudah tentu saya 'refuse' krn masih ingat lagi sakitnya slps tiub dicabut - maka, setiap kali buang air, saya akan sukat setepatnya.
 
Semasa kandungan pertama (Amirul) dan kandungan kali ini, OHSS yang saya alami tidak teruk. Saya hanya diberi cuti sakit dan diminta untuk berehat, tetapi perlu minum sebanyak yang boleh. Alhamdulillah... setiap kali episod, OHSS saya tidak semakin teruk. Cuma rasa tidak selesa di abdomen sahaja (akibat ovari yg besar iaitu hampir 15 cm setiap satu dan pengumpulan air di dalam abdomen).


Apakah itu OHSS?
OHSS adalah suatu keadaan dimana ovari membengkak akibat pembentukan banyak cyst di dalamnya dan terdapat pengaliran cecair badan ke ruang 'extravascular' (ruang luar dari salur darah).
 
Beginilah ultrasound pesakit OHSS. Ovari membengkak dan terdapat cecair di dalam abdomen.
(credit to: www.advancedfertility.com)
 
 
Apakah puncanya?
OHSS terjadi akibat komplikasi prosedur bagi membantu kehamilan iaitu IUI atau IVF, berikutan daripada ubat terapi hormon yg diambil (terutamanya Gonadotropin).
 
 
 
Adakah saya mengalami OHSS?
 
Antara simptom OHSS adalah:
  • Sesak nafas (92%)
  • Ketidakselesaan pada abdomen (99%)
  • Loya, muntah dan cirit-birit (54%)
  • Air kencing berkurangan (30%)
  • Bengkak pada tangan dan kaki (13%)
  • Letih lesu
  • Peningkatan berat badan secara mendadak


Kenapa selepas 2 minggu saya masih mengalami OHSS?
 
OHSS terbahagi kepada dua fasa, iaitu:
  • Fasa awal: 3 - 7 hari selepas rawatan HCG - akibat daripada rawatan HCG yang diambil, biasanya tidak teruk. Boleh berlarutan ke fasa akhir terutamanya apabila kehamilan terjadi.
Mengikut kajian 41.5% pesakit fasa awal OHSS ('early OHSS') disahkan hamil, tetapi separuh darinya mengalami keguguran.

  • Fasa akhir: 12 - 17 hari selepas rawatan HCG - pada awalnya OHSS di peringkat ini terjadi akibat rawatan HCG, walaubagaimanapun pengeluaran HCG diteruskan oleh badan yang biasanya disebabkan oleh kehamilan.
Mengikut kajian, 96.7% pesakit fasa akhir OHSS ('late OHSS') berlaku semasa hamil dan dikatakan lebih merbahaya daripada fasa awal OHSS.


Bahaya tak OHSS ni?
Tanpa rawatan yang betul, OHSS boleh membawa maut. Antara komplikasi akibat OHSS adalah:
  • 'Ascites'; pengumpulan cecair dalam abdomen
  • 'Pleura effusion'; pengumpulan cecair antara lapisan paru-paru
  • 'Pericardial effusion'; pengumpulan cecair diantara lapisan jantung
  • 'Hemoconcentration'; darah menjadi semakin pekat - mudah berlakunya 'thrombosis' (pembentukan darah beku)
  • 'Hypovolemia'; kurang cecair dalam salur darah
  • Ketidakseimbangan elektrolit dalam badan akibat daripada ketidakseimbangan cecair dalam badan
  • 'Ovarian torsion'; ovari 'terpulas' mengakibatkan pendarahan
  • Kegagalan organ dalam badan
  • Kematian
Salah satu komplikasi OHSS - ovarion torsion.
(credit to: www.mayoclinic.com)



Apa yang doktor akan lakukan sekiranya saya mengalami simptom diatas?
  • Pertamanya, doktor akan mengambil riwayat sejarah yang lengkap. Ini adalah penting agar diagnosis yang tepat dapat dilakukan.

  • Kemudian, pemeriksaan fizikal akan dilakukan bagi memastikan ianya adalah OHSS dan samada komplikasi OHSS sudah berlaku atau tidak.

  • Kebiasaanya, ujian ultrasound juga akan dilakukan bagi melihat
                - Saiz kedua belah ovari
                - Menilai keadaan folikel dalam ovari
                - Samada terdapatnya pengumpulan cecair di abdomen, paru-paru dan jantung
  • Ujian darah juga akan dilakukan bagi melihat kestabilan cecair dan elektrolit dalam badan dan juga parameter yang lain.

  • Keputusan samada kemasukan ke wad adalah perlu atau tidak bergantung pada tahap OHSS ketika itu:
                - Mild OHSS : rehat di rumah
                - Moderate - Severe OHSS : perlu dimasukkan ke wad untuk pemantauan rapi
 
 
 
Apakah perkara yg perlu saya lakukan apabila disahkan mengalami OHSS?
  • Minum air sebanyak yang boleh (walaupun abdomen rasa tidak selesa akibat pengumpulan cecair) krn ketika itu hakikatnya tubuh badan kita kurang cecair akibat pengeluaran cecair dari salur darah.
Minumlah sebanyak yang boleh.
(credit to: www.stsurfimages.com)
  • Sukat air kencing setepat yang boleh - jika air kencing berkurangan, sila maklumkan kepada doktor bertugas dengan segera.
Manfaatkan jug utk sukat air kencing yg terdapat di tandas wad sebaik-baiknya.
(credit to: www.hssproducts.co.uk )

  • Jangan baring sahaja di rumah. Lakukan aktiviti seperti biasa kerana OHSS boleh menyebabkan pembentukan darah beku terutamanya jika tidak bergerak. Tetapi jangan lakukan aktiviti lasak.
Boleh lakukan aktiviti ringan di rumah
(credit to: chumsyashley.info )

  • Jika rasa sesak nafas, muntah atau cirit-birit yang teruk atau sakit di bahagian abdomen - segera ke hospital/klinik terdekat untuk mendapatkan rawatan.
Segeralah ke hospital sekiranya simptom yg dialami semakin teruk.
(credit to: blog.attainfertility.com )


Ada tak ubatan yang boleh merawat OHSS?
Tiada.
OHSS akan pulih dengan sendirinya apabila hormon HCG berkurangan dalam badan.
Sekiranya, pesakit tidak mengandung, OHSS akan pulih selepas 1 - 2 minggu. Tetapi, sekiranya pesakit OHSS hamil, OHSS boleh berlarutan sepanjang trimester pertama dan kebanyakannya pulih apabila memasuki trimester kedua.
 
Walaubagaimanapun, ubatan untuk merawat komplikasi OHSS akan diberi apabila perlu, iaitu antikoagulan (anti pembeku darah).
 
 
 
 

1 comment: