04 May 2013

Realiti Mengidam (Food Craving)

Mengidam?

Sebelum ni saya dah cerita makanan di hospital dan juga makanan yang saya idamkan. Kali ini, lebih ilmiah sedikit sebab saya nak berkongsi tentang mengidam.
 
'Food craving' atau mengidam ini adalah suatu fenomena biasa bagi wanita hamil yg juga kadang2 dialami oleh suami bagi wanita yang hamil. Ia adalah suatu keadaan dimana seseorang itu mempunyai keinginan yang kuat untuk makan sesuatu perkara. Kira-kira 85% wanita mengidam sekurang-kurangnya satu jenis makanan semasa hamil.
 
 
 
Apakah yang diidamkan oleh wanita hamil?
 
Mengikut kajian yang dilakukan di Amerika, makanan yang paling diidamkan oleh wanita hamil adalah:
Makanan manis (40%)
Snek masin (33%)
Makanan pedas (17%)
Buahan sitrus, epal hijau dan makanan masam (10%)

Yang mana menjadi pilihan?
(credit to: blog.cybexintl.com )
 
Kebanyakan wanita mengidam makanan yang menjadi kebiasaan, tetapi ada juga yang mengidam perkara pelik yang melampaui batas normal seperti mengunyah beras mentah, menghidu minyak kereta, minum minyak angin dan sebagainya. Sesetengah pakar nutrisi dan pengamal perubatan percaya bahawa keinginan terhadap sesuatu membawa makna tertentu. Contohnya, keinginan untuk makan ketulan ais dan perkara-perkara pelik seperti puntung rokok mempunyai kaitan dengan kekurangan zat besi (walaupun bahan-bahan ini tidak mengandungi zat besi).

Perlukah dituruti keinginan pelik seperti ini?
(credit to: www.design21sdn.com )
 
 Sesetengah pengamal perubatan alternatif percaya bahawa keinginan terhadap coklat mungkin dicetuskan oleh kekurangan vitamin B dalam badan. Sesetengah wanita mungkin perlukan lebih asid lemak penting dalam diet mereka, dan apabila mereka mula mengambil minyak flaks (flax oil), keinginan ini hilang. Begitu juga, keinginan terhadap daging jelas menunjukkan badan memerlukan protein. Dan wanita yang memakan banyak buah pic, mungkin kerana badannya memerlukan beta karotina

Sungguhpun demikian, kaitan di antara apa yang badan anda perlukan dan apa yang anda idamkan kelihatan tidak kuat. Jika kaitannya kuat, kita semua mungkin mengidamkan brokoli dan buah-buahan segar, berbanding coklat dan keropok yang biasa kita idamkan.

 
 
Mengapa wanita hamil mengidam?
 
Tiada penjelasan yang tepat punca 'food craving' ini.
 
Walaubagaimanapun,mengidam berkait rapat dgn perubahan hormon dalam badan. Pada peringkat awal mengandung, rahim banyak menghasilkan hormon yg dapat mengganggu keseimbangan tubuh dan ia akan menimbulkan pelbagai reaksi dalam diri wanita tersebut. Itulah sebabnya wanita mengidam ini biasanya berlaku di awal kehamilan (sehingga 16 minggu kandungan) dan juga di akhir kehamilan (apabila hampir masa untuk bersalin), kerana ketika ini banyak hormon yang dikeluarkan oleh badan.
 
Ada kajian yang dijalankan ia berpunca apabila tahap hormon serotonin yang rendah dalam badan yang seterusnya merangsang otak yang mengawal selera makan, seterusnya merembes hormon endorfin yang menyebabkan peningkatan makanan yang berunsur lemak dan karbohidrat.
 
Makanan yang mempunyai tahap gula yang tinggi (seperti coklat) lebih banyak diidamkan berbanding makanan kurang gula (seperti sayur-sayuran), kerana apabila gula berinteraksi dengan sistem opiod dalam badan, ia akan mencetuskan suatu ketagihan. Ini menyebabkan, individu yang mengambil makanan bergula akan terus menginginkan makanan manis kerana otak telah di'set' untuk mengeluarkan 'hormone gembira' apabila makanan manis dimakan. 
 
 
Coklat dan wanita tidak dapat dipisahkan. Atau ia sekadar alasan?
(credit to: www.sodahead.com)
 
 
Apakah keinginin ini perlu ditunaikan?
 
Pakar-pakar di Amerika bersetuju bahawa keinginan semasa hamil harus diberi perhatian, tetapi tidak semestinya diikutkan. Biasanya diet yang sihat boleh mencukupkan kesemua keperluan nutrisi kita, tetapi sesetengah pakar berpendapat makanan turut memuaskan keperluan emosi. Jika kita tidak mendapat kepuasan emosi, mungkin kita perlukan pelukan berbanding burger.

Mungkin yg diperlukan oleh isteri yg sedang hamil adalah pelukan, perhatian dan kasih sayang suami.
(credit to: www.inmagine.com)

 Cara lain untuk menangani keinginan yang tidak sihat?
Makan sarapan setiap hari (tidak bersarapan boleh membuat keinginan lebih teruk), kerap bersenam dan pastikan anda mengamalkan diet yang sihat dan pelbagai.
 
 

Pengaruh mengidam
 
Mengikut kepercayaan orang Melayu di zaman dahulu, sekiranya suatu perkara yang diidamkan wanita hamil tidak ditunaikan, akan mengakibatkan perkara buruk berlaku pada bayi yang dikandung. Ramai yang percaya anak yang dilahirkan nanti akan menjadi kempunan sehingga sentiasa keluar air liurnya, sehinggakan untuk menghilangkan masalah 'lelehan air liur' itu, bayi tersebut mesti diberi makanan yang diidamkan semasa mengandung, walaupun sedikit.
 
Masyarakat Melayu di zaman dahulu cukup percaya pengaruh mengidam kepada bayi.
(credit to:www.mamascarf.co.uk ) .
 
Bukan sahaja Melayu, bergantung pada sejarah dan budaya sesuatu kaum, kepercayaan wanita hamil yang mengidam ini berbeza dari setiap satu kaum atau bangsa.
  • Wanita Hmong (Vietnam, Thailand, Laos dan China) yang hamil percaya sekiranya segala yang diidamkan mereka dituruti, bayi yang dilahirkan nanti tiada cacat anggota.
  • Di Malta, wanita mengandung digalakkan untuk melunaskan segala apa yang diidamkan, kerana dikhuatiri anak yang dikandung akan mempunyai tanda lahir yang tidak diingini.
  • Di dalam Babylonian Talmud (kitab orang Yahudi), ada dinyatakan wanita hamil yang mengidamkan makanan bukan Kosher (Kosher adalah makanan tidak halal orang Yahudi, contoh yang diberi adalah khinzir), perlulah dibenarkan mengambil makanan tersebut kerana dikatakan boleh mengancam nyawa.
  • Di Thailand, wanita yang mengidam makanan masam selepas habis haid, dikatakan pasti mengandung.
 
Mengidam sebenarnya tiada kaitan dengan bayi mahupun kesihatannya. Walaupun begitu, para suami zaman sekarang berusaha untuk memenuhi keinginan isteri yang mengidam kerana beranggapan keinginan tersebut adalah keinginan bayi dalam kandungan isteri. Tiada masalah untuk menyenangkan hati isteri, tetapi berhati2 kerana ia boleh menjadi khurafat kerana mempercayai sesuatu selain daripada kekuasaan Allah.
 

 
 
Apa yang patut saya lakukan?
 
Pengambilan makanan manis atau masin terlalu banyak sewaktu hamil (juga semasa tidak hamil) adalah merbahaya. Lebih2 lagi ketika ini penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi sudah seperti menjadi suatu wabak dalam masyarakat kita.
 
Satu perkara yang penting apabila wanita hamil itu mengidam sesuatu makanan adalah memilih makanan yang lebih sihat. Integrasikan makanan yang diidamkan samada manis, masam, masin atau pedas dalam diet seharian kita yang seimbang.
 
Sebagai contoh;
  • Ais krim: ambil yogurt tanpa lemak - boleh menjadi sumber kalsium tanpa menambah kalori
  • Coklat: boleh digantikan dengan sirup coklat tanpa lemak yang dicurah di atas buahan segar
  • Gula-gula: digantikan dengan buahan kering spt apricot atau buahan segar tropika spt mangga
  • Snek masin: ambil popcorn yang dimasak bersama herba campuran atau roti bijan dicicah dalam sos mustard pedas
  • Snek masam: perah lemon pada ikan atau gunakan dalam salad
Gantikan dengan yogurt tanpa lemak apabila mengidamkan makanan manis.
 
Makan buahan segar kegemaran bersama sirap coklat tanpa lemak.
(credit to:  www.sparkpeople.com)
 
Sentiasa menahan diri daripada memakan perkara yang pelik ('pica'), yang boleh memudaratkan kesihatan diri dan bayi yang dikandungkan. Hadiahkan diri dengan sesuatu (walaupun dengan sedikit coklat) apabila berjaya menahan diri daripada mengambil perkara pelik ini. Walaubagaimanapun, hubungi doktor jika 'food craving' seperti ini berlarutan dan tidak dapat ditahan lagi, kerana ia mungkin petanda bagi sesuatu penyakit.
 
 
 
 
 
 
Rujukan:
Si Comelku, diterbitkan oleh Al-Hidayah
 


No comments:

Post a Comment