20 May 2013

Cervical Incompetence - Lemah Pangkal Rahim

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
 
Alhamdulillah, kita sekali lagi diberi peluang oleh Allah utk terus hidup pada hari ini. Banyak sungguh nikmat dan rezeki Allah kurniakan setiap hari...dan kebanyakkan masanya tanpa kita sedari. Suami selalu mengingatkan saya untuk tidak pernah lupa mengucapkan 'Alhamdulillah' setiap kali membuka mata setiap pagi. Kerana nikmat hidup dan masih bernafas inilah yang paling besar tetapi paling mudah dilupai.
 
Bersyukur juga kerana hari ini genap 23 minggu kehamilan saya untuk kali ini. Saya selalu terfikir, agaknya roh Amirul dan Uwais sentiasa membantu adik mereka kali ini. Mengarut kan? Yang penting jangan putus harap dengan Allah dan terus sahaja berusaha. Dan ingat...pengharapan kita hanya pada Allah...bukan pada doktor...bukan pada ubatan...
 
Untuk entry kali ini, saya mahu berkongsi maklumat berkenaan 'cervical incompetence'. Jika di kalangan orang melayu mungkin mengistilahkan sebagai 'rahim lemah'. Bagi ramai wanita mungkin jarang sekali mendengar kecuali bagi isteri2 yang telah melalui keguguran pada trimester kedua kehamilan. Walaupun, rasa rapuh..sedih..tapi itulah diagnosis yang diberitahu oleh doktor tatkala masih memangku anak kecil yang kemerahan.
 
Ketika pertama kali saya diberitahu oleh Dr Nasir (pakar yang merawat di UPR, HSNZ), selepas Amirul (kemungkinan sahaja krn sejarah riwayat saya sangat berbeza)...hati saya berpecah-derai. Sepanjang pengalaman saya (yang sedikit) bertugas sebagai pegawai perubatan, tidak pernah saya mendengar ada wanita yang didiagnos infertiliti dan pada masa yang sama mengalami masalah rahim lemah. Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga.
 
Pada mulanya...'denial'. Begitulah.. Apabila Allah memberi rezeki untuk hamil kali ketiga (kali kedua gugur semasa 6 minggu kehamilan), saya tidak mengambil apa2 langkah 'precaution'. Bertindak seperti wanita hamil yang lain; bekerja seperti biasa, shoping, travel bersama family. Malah, saya sentiasa mengidamkan untuk memakai baju hamil - cantik dan seksi. Ditakdirkan oleh Allah, nasib Uwais sama seperti Amirul.
 
Dan sebelum kehamilan kali ini, pelbagai investigation dilakukan bagi memastikan saya tidak mempunyai masalah lain. Selepas melakukan ujian HSG (di entry seterusnya, InsyaAllah saya akan ceritakan), kaki saya terus longgar dan kaku. Saya minta keizinan Dr. Elinah utk keluar sebentar dan terus menangis di taman. Terus membuat panggilan kepada suami, Kak Maria (sahabat baik saya) dan Dr. Faridah (doktor yg merawat di Hospital Kemaman).
 
Satu sahaja fikiran saya ketika itu, jika suami benar mahukan zuriat...saya izinkan dia berkahwin seorang lagi. Mana mungkin seorang manusia mempunyai 3 masalah/diagnosis yang berbeza2 yang tidak memungkinkan untuk mempunyai zuriat. Tapi, suami saya seorang yang sangat penyabar dan supportive, menggalakkan saya utk terus berusaha (walaupun hati kecilnya gembira kerana isteri kesayangan mengizinkan utk berkahwin kali kedua) dan inilah hasilnya sehingga ke hari ini.
 
 
 
 
Apa itu 'Cervical Incompetence'?
 
Satu keadaan bagi wanita yang sedang hamil, dimana serviknya (pangkal rahim) mula terbuka ('dilate') dan menipis ('effaced'), sebelum kehamilannya cukup bulan ('term'). Ia menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang ketika trimester kedua dan ketiga.
 
Bagi wanita biasa, keadaan servik yang membuka dan menipis itu adalah susulan akibat kontraksi rahim, tetapi bagi pesakit 'cervical incompetence', semuanya berlaku tanpa disedari kerana tidak sakit dan tiada kontraksi. Ia berlaku akibat tekanan daripada rahim yang semakin membesar dan sekiranya tiada intervensi dilakukan, membran (ketuban) boleh pecah yang menyebabkan kelahiran pramatang.
 
Keadaan ini berlaku pada 1 - 2% daripada populasi dan dikatakan 20 - 25% darinya menyebabkan keguguran pada trimester kedua.
 
 
 
Risiko 'Cervical Incompetence'
  • Telah didiagnos mempunyai pangkal rahim lemah semasa kehamilan sebelumnya
  • Sejarah membran pecah sebelum cukup bulan ('premature rupture of membrane')
  • Sejarah melakukan biopsy pada servik
  • Terdedah kepada DES (diethylstilbestrol - sejenis hormone estrogen sintetik) semasa dalam kandungan
  • Anomali pada rahim
  • Prosedur pada servik secara berulang (cth. 'mechanical dilatation' semasa kehamilan sebelumnya)
  • Trauma yg signifikan pada servik
Beginilah ultrasound sebelum Amirul dan Uwais dilahirkan - membran (ketuban) terkeluar ('bulging out') daripada pangkal rahim
(credit to: www.fetalultrasound.com)
 
 
Bagaimana untuk merawat 'Cervical Incompetence'?
 
Secara umumnya, tidak semua wanita yg mempunyai pangkal rahim yg lemah memerlukan rawatan, kecuali apabila ia mengancam kehamilan ketika itu.
 
Ia dirawat melalui prosedur pembedahan yang dinamakan 'cervical cerclage' yakni satu teknik pembedahan untuk menguatkan pangkal rahim dengan jahitan (seperti 'jerutan'). Ia dilakukan ketika kehamilan mencapai 14 - 16 minggu, melalui vagina dengan bantuan speculum ('transvagina') atau melalui pembedahan pada abdomen ('transabdominal'). Jahitan pada pangkal servik itu akan dibuang apabila kehamilan mencapai 36 - 38 minggu atau sekiranya pesakit datang dengan tanda utk bersalin.
 
Pembedahan cervical cerclage
(credit to: www.examiner.com)
 
 
Untuk saya, pembedahan ini dilakukan secara 'prophylaxis', telah dirancang sebelum saya melakukan IUI lagi. Sesetengah klinik/hospital melakukan pembedahan ini apabila mengesan perubahan pada pangkal rahim yang semakin memendek, menipis atau mula terbuka.
 
Sakit tak?
Selepas pembedahan rasa sedikit ngilu dan sedikit pendarahan. Tetapi lama-kelamaan ia semakin berkurangan dan pada satu masa saya tidak merasa apa2 lagi.
 
 
 
Ada pantang-larang?
 
Melalui pembacaan saya melalui forum (terutamanya di oversea) di kalangan pesakit 'cervical incompetence', setiap klinik mempunyai pantang-larang yg berbeza. Tetapi secara umumnya, pesakit yg hamil dgn pangkal rahim yg lemah seharusnya mengelakkan daripada memberi tekanan kepada pangkal rahim (ingat konsep graviti). Semakin berat kandungan (rahim), semakin ia memberi tekanan kepada pangkal rahim.
 
  • Tidak dibenarkan berdiri/berjalan lebih dari 15 minit
  • Tidak dibenarkan duduk lebih dari 2 jam
  • Tidak dibenarkan menaiki tangga lebih dari 2 kali satu hari
  • Tidak dibenarkan mengangkat barang lebih dari 2.5 kg
  • Tidak dibenarkan melakukan hubungan seksual
  • Boleh melakukan kerja2 ringan di rumah - tetapi digalakkan untuk duduk semasa melakukannya
  • Jika berdiri lama (cth. mandi dan basuh rambut), cepat-cepat utk baring selepas selesai aktiviti itu
  • Dibenarkan pergi ke kedai/pasar yang berdekatan dgn rumah, tetapi parking kereta berdekatan dgn pintu masuk dan lakukan pembelian dgn cepat
 
 
Tetapi ingat !
Pesakit perlu juga bergerak kerana kehamilan itu sendiri boleh menyebabkan penghasilan darah beku di kaki ('deep vein thrombosis') yang boleh menyumbatkan salur darah di paru-paru ('pulmonary embolism') dan angin ahmar.
 
 
Bagi saya, secara umumnya...tidak boleh melakukan kerja rumah dan tidak boleh travel kemana2 (sebelum ini saya siap membuat perancangan 'surviving bed rest'). Tetapi oleh kerana dimasukkan ke wad, secara tak langsung sememangnya akan 'bed rest' kerana tiada aktiviti yg boleh dilakukan disini. Tetapi, saya tidak baring sepanjang hari (lagipun, belakang akan sakit jika baring terlalu lama) - berjalan keluar 'dating' bersama suami di taman dalam hospital, menghantar sendiri bekas makanan ke pantry dsb.
 
 
 
 
Saya akur dan redha, tidak boleh menjadi seperti wanita hamil yg lain.
Berjalan perpegangan dgn suami, dengan pakaian hamil yang cantik2, sambil menelek dan memilih kelengkapan bayi. Dan saya faham, di saat ujian kehamilan menunjukkan 2 line, hidup saya akan 'tersekat'...semua ini kerana zuriat. Redha dan syukur krn Allah masih beri peluang utk hamil. Masih trauma dgn kelahiran Amirul dan Uwais. Dan syahdu melihat suami yang sangat sukakan kanak-kanak.
 
Juga bersyukur dijodohkan dengan suami saya yang sangat penyabar.
Selama ini, dialah yang menguruskan rumah kami..membasuh baju..memasak.
Bukan saya seorang yang keseorangan dan kesunyian, suami turut sama...sehingga ada satu masa menyuarakan ingin berpindah tinggal bersama rakan sekerjanya yang masih bujang (tetapi rumah kami lebih dekat dgn hospital - lebih mudah baginya utk datang melawat).
Jika sebelum ini, kemana2, saya sentiasa berada disisinya...dan kini semuanya dilakukan seorang.
 
Apabila mengenangkan pengorbanan suami yg banyak membantu ketika berpantang dan hamil, rasa mahu sahaja saya menghadiahkan seorang isteri (kedua) untuknya, 'mok da' (panggilan isteri kedua di Terengganu) sebagai penemannya dikala sunyi.
Banyak kisah di tv/suratkhabar, suami minta berpisah kerana zuriat, malah ramai juga yang berkahwin secara bersembunyi. Tetapi tidak dengan suami saya...jujur, penyabar dan sangat supportive.
 
Kehidupan saya yang rasanya perit tetapi indah kerana dengan keperitan itu, sesuatu kemanisan dirasakan nikmat terbesar kurniaan Allah. InsyaAllah, di akhirat nanti, kami sekeluarga akan bertemu dengan Amirul, Uwais dan anak yg saya kandungkan kini.
 
Pada masa yang sama, saya tidak putus berdoa dan mengharap.
Hanya kepada-Nya kita berserah..
 
Wallahua'lam


15 comments:

  1. Salam...saya sungguh kagum dgn semangat akak...hanya org yg terpilih sahaja akan di uji hebat begini oleh Allah...saya juga TTC...2 tahun dah berkahwin...tapi masih sabar, berusaha dan berdoa pada Allah...malah berusaha cara lain juga...saya sependapat dgn akak...pengharapan kita hanya pada Allah...Itu kuasa Nya...bkn pada kita...saya doakan akak akan dipermudahkan urusan dan selamat melahirkan Ayub/Husna dengan sihat dan sempurna..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Yana..
    Akak doakan Yana dan suami dimurahkan rezeki dan tidak perlu melalui apa yang akak lalui. InsyaAllah, rasanya Yana muda lagi kan? Prognosis lebih baik dan jangan lupa untuk terus berusaha.
    Jangan lupa inform whenever your UPT turned into double line..okay..

    ReplyDelete
  3. salam kak.
    saya antara yang mengalami servical incompetence.
    Allah izinkan saya untuk melahirkan pada 2nd trimester dan kedua-duanya pada minggu ke20.
    Yang sulung perempuan. yang saya perasan, saya mengalami contraction sehari sebelum malahirkan. perut kejap mengeras, kejap rasa biasa, tulang belakang rasa sakit. ada lendir warna seperti kuning lemak keluar di panty, tanpa darah(discharge). Dengan tiada pengalaman bersalin, saya menganggap yang ianya normal. Mungkin keputihan. Sehingga keesokan harinya, setiap minit semakin kerap dan akhirnya air ketuban saya keluar mencurah-curah. tappi saya tak pasti sama ada saya 'terkencing' atau apa. Saya risau. sampai di Hospital, Dr kata, situasi seperti ini tak normal bagi ibu yang mengandung 5 bulan.
    Saya melahirkan anak secara normal. keluar masih bernafas, dan habis hayatnya disisi saya. Waktu keluar dari hospital, saya keluar tanpa apa2 diagnose yang tepat dari Dr. Saya tak pasti apa yang berlaku pada tubuh saya.

    mengandung saya kali kedua, pada tarikh mengandung lewat 3 hari daripada yang pertama. Pada bulan yang sama, pada minggu yang sama. tahun yang berbeza. Allah izinkan saya untuk mengandung sekali lagi.

    Kali kedua, sehari sebelum saya menyedari ada lendir kuning mula keluar sikit-sikit. minggu sebelum, Dr pakar ada menyatakan, yang mungkin pintu rahin skarang pada bacaan normal. but anytime mungkin pintu pangkal rahim awak akan memendek. kene hati-hati.

    Genap seminggu, sehari sebelum bersalin, ada lendir keluar. Esk harinya, bangun dari tidur, saya perasan ada contraction halus. saya mula rasa cemas sebab fikirkan anak dalam kandungan. Saya mahu baby selamat.

    Sampai di Hospital, pintu da terbuka 1cm, dan membran baby dah nampak.
    Dr kata,ini tak normal. chances untuk melahirkan sangat tinggi. Sehingga jumpa Dr pakar suggest untuk baring melawan graviti. 13 jam saya berbaring pada position terseut dengan harapan, baby and membran akan masuk ke dalam kantung rahim.

    Perancangan ALLAH lagi hebat. Berlaku contraction every hour to every minutes bits to every second. Dr pakar sangat da cuba sehabis mampu, jika tiada contraction boleh buat cerclage. Tengok ultra sound sekali lagi, kaki baby da sampai ke pundi kencing. anak tetap auto push keluar. Saya dan suami redha. Kami buat solat hajat+istikharah bersama untuk buat keputusan. Moga ALLAh bantu hati yang sedang lemah penuh harapan kuat untuk membuat keputusan terbaik dan menerima sebarang ketentuanNYA. sehingga saya bersalin sekali lagi, anak keluar dengan kantung uri penuh. Keluarnya juga masih bernafas, dan tak lama kemudian pergi buat selamanya.

    Dua kali yang bila didengarkan bunyinya pahit. Tapi manis.
    Dua kali yang bila dikenang hiba, dan penuh syukur.
    Dua kali ALLAH bagi pengajaran, semuanya milik ALLAH. Mati can happen anytime. walau baru ditiupkan ruh.
    And somehow, dikala ALLAH ambil semula milikNYA, dipelihara kedua anak itu daripada ujian dunia. Dipelihara dua anak itu dari celaan dosa.
    Sebab ALLAH lebih tahu. Dua-dua anak itu. both of them are our JEWELS of JANNAH.

    I pray for both of you bless and happiness with zuriat keturunan soleh solehah dan akan berkumpul di syurga kelak insha ALLAH. ameen.
    may ALLAH granted all of us JANNAH =)
    wassalam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Farah...
      Kesemua ujian ini akan mematangkan kita...mendekatkan kita dengan Allah.. Paling penting, JANGAN PUTUS ASA. Just keep going... Do it again and again, until you succeed. Tapi ingat, do your best in each attempt from the beginning.
      Saya pun doakan Farah dan suami diberi rezeki anak tidak lama lagi. Resepi paling penting...SABAR. Itulah perkataan yang saya dan suami selalu ungkapkan...setelah 5 bulan saya 'dipenjara', lebih2 lagi di bulan Ramadhan....cabarannya lebih dari biasa.
      Tapi 8 tahun penantian utk peroleh zuriat dgn pelbagai ujian sblm ini, menyebabkan kami cuba untuk terus bersabar... InsyaAllah..
      Gunakanlah peluang Ramadhan ini sebaik-baiknya...
      InsyaAllah..

      Delete
    2. Saya pun baru kehilangan bby dlm kandungan 5 months febuari lps..saya pun disahkan incompetence serviks..ikut kata doc saya memang kena wat cerclage..wat masa nie doc nasihatkan rest dlm 6 bln..harap sgt lps nie diizinkn allah utk pregnent smpai 9 bln spt wanita lain..

      Delete
    3. Hi.. nak tanya... ada tak bleeding sebelum 5 bulan? nak tanya pengalaman... Thanks..

      Delete
  4. salam sis...

    Kita serupa sis..
    1st pregnancy with twin (boy) deliver 25 weeks.. (4 nov 2012)

    and second pregnancy boy also (18 weeks 5 days) 12 jun 2013

    doctor sahkan cervical incompetence.. walaupun doc ckp willing to work.. saya nekad nak berhenti kerja soon takot rezeki Allah bagi saya pregnant

    keje di ampang selalu naik lrt dari gombak ke ampang take few minute lepas tuh jalan kaki..

    cemburuk tgk perempuan yang pregnant jadi mcm superwomen with do anything.. but lepas ni fokus pada baby..
    3 hero dah tunggu di sana.. harap ada rezeki lagi akan datang

    ReplyDelete
  5. Sedihnya ngis bca... ila bru 9 minggu ank k5.. sjrg bleding..kantung bby trun k bwh.. rahim lemah...rasa down..

    ReplyDelete
  6. Assalam, sy 5 kali keguguran (set of twin)..sekali lahir pramatang..baby hidup 23 hari ja...now pregnant kali ke 6...usaha + doa = tawakal....sabar itu indah.,.

    ReplyDelete
  7. harapan saya semoga kalian memperolehi zuriat. setiap kesabaran akan mendapat pahala yang besar dan menghapus dosa. pengalaman kalian merupakan pengalaman yg menyedihkan dan mengajar saya erti bersyukur dan bersabar. saya me
    punyai ank 3 yag sihat. sekarang mengdung ank 4. walaupun sekarang ada sedikit masalah namun tidak kronik.

    ReplyDelete
  8. Sedihnya sy baca entry ni. Actually sy baru je keguguran bulan 8 yg lalu. Hari ni follow up dengan pakar di hospital Melaka. Doktor cakap, next pregnancy sy kene jumpa dengan pakar lagi utk cervix assessment. Sebab masa sy gugur tu ketuban sy keluar elok je bersama bayi ( air ketuban tu tak pecah). Saya gugur 14 + weeks. Sy rasa Berdebar juga bila doktor kata KIV cervical cerclage. Tu yang cari info dan pengalaman mereka yang dah lalui. Thanks so much kak. Saya doakan akak sekeluarga sihat.

    Ikhlas,
    Nordiyana Jamal
    http://www.caramudahhamil.com

    ReplyDelete
  9. Salam..
    Sy adalah salah seorang yg mengalami masalah yg sama.. pernah bersalin twin 22w last year..baby boy.. (18.5.2013) dan alhamdulillah setelah setahun lebih sy prgnant balik.. dan..prgnant kali ni memang kene buat cervical cerclage...sbb dokter pun dh bg tau since bersalin twin..
    Now.. sy dh 41 hri d hsptl melaka.. dgn usia kandungan 22w.. dah 40hri buat cerclage..

    Nak dkatakan sedih mmg sedih sebab kehidupan x mcm org normal lain.. mana tidaknya..terbaring.. dan tidak banyak bergerak.. (atas arahan dokter) so, sy rela keadaan begini... asalkan baby sy selamat sampai la bersalin cukup bulan.. insyaAllah..
    Lagi beberapa bulan saya akan disini.. doakan sy dan baby selamat...

    ReplyDelete
  10. Sy juga pernah mengalami yg sama..

    ReplyDelete
  11. Salam, setelah 2thn lebih sy brkahwin, barulah pertama kali sy check upt naik double line merah yg sgt terang. Suamu & sy sgt2 hepi. Tapi syg seribu kali syg, gembira tu x lama, sy juga didiagnoskan cervical incompetence oleh Dr pakar di GH Melaka slps lahirkan baby girl pd 4mac 2019 yg lalu, 3hari sblm brsalin, sy dapati ada discharge spt yeast & blood spotting. Contraction tu sy x brpe tahu sbb x penah alami. Tp sy dpt rse perut sy mcm cramp. 3 mac, still ada lagi yeast & blood spotting, husb sy ajak g kcemasan Hosp Terendak, check VE dah bukak os 5cm, doc refer g Gh Melaka, buat scan, VE. Dr Pakar diagnoskan sy cervical incompetence n if pregnant lg slps ni, KIV for Cervical Cerclage. sedih tu mmg sedih tp apa kan daya. Smua tu kuasa Dia. Sy akur, sy lahirkan bby prem & hnya hidup 2jam je. Doc ada ambk Placenta HPE~ result tu mnunjukkan Intervillous Thrombus & rhesus darah sy dan bby sy x serasi. And now, sy pregnant kali kdua usia kandungan masih awal 6wks. Next month appointment utk review result coombs test sy dan hari trsebut bru sy nak inform doc yg sy pregnant. Doakan yg trbaik buat kandungan sy kali ini ye😊

    ReplyDelete
  12. Salam, saya pun mengalami hal yg sama pintu rahim lemah.. Tp selepas saya keguguran sebanyak 5 kali baru saya tahu jenis rahim yg tak normal iaitu 'jenis bicornuate Uterus' mempunyai 2 tanduk dan bentuk hati yg mana mpunyai 2 ruang dlm uterus.. Bermaksud bila bayi membesar ruang uterus tidak cukup ruang untuk bayi membesar menyebabkan pintu rahim terbuka.. Last keguguran tahun 2018 pada usia kehamilan 22 weeks, pada 21 weeks bila buat scan pintu rahim sdh terbuka 4cm tp cuba nasib untuk buat cervical cerclage tp tidak ada rezeki disebabkan pecah ketuban awal kerana jankitan kuman. Dan skrg saya hamil 4 bulan lbh dan ada membuat cervical cerclage pada usia kehamilan 16 weeks. Doktor ada nasihatkan saya mempunyai uterus bicornuate uterus ini dengan membuat cervical cerclage bkn cara untuk penyelesaiannya dan tidak ada jaminannya.. Tetapi hati ini percaya jika adanya rezeki dari Tuhan pasti ada dan saya akan mencuba. Saya sdh mendirikan rumah tangga selama 6 tahun.. Pelbagai rintangan untuk menjadi seorang ibu akan kita lalui walaupun sakit tp tetap bersyukur kerana kita dapat rasa bagaimna perasaan ketika mengandung kan..dan saya doakan kepada yg menunggu zuriat akan dimakbulkan dan doakan untuk saya juga agar kandungan saya kali ne dengan izin Allah akan dipermudahkan semuanya. Insyallah amin2

    ReplyDelete